September 30, 2011

Mengapa Perlunya Psikologi Islami?

Posted in Psikologi Islam pada 2:12 pm oleh abulutfi

Tidak dapat dinafikan psikologi merupakan salah satu cabang ilmu yang amat berguna dalam kehidupan manusia. Bahkan dalam era globalisasi yang memungkinkan pertembungan budaya Timur dan Barat serta pemusatan matlamat pada kehidupan dunia, pengetahuan mengenai kemanusiaan menjadi satu keperluan yang mendesak. Bijak pandai di Jepun telah melaburkan sekian banyak modal terhadap pembangunan insan bagi memastikan teknologi yang dicipta tidak disalahgunakan akibat tangan manusia sendiri.
Di mana-mana sahaja, manusia adalah tumpuan utama dalam pembinaan tamadun. Kejayaan keluarga, masyarakat, organisasi dan negara asasnya bergantung kepada manusia dan bukannya teknologi atau factor-faktor lain. Justeru, memahami manusia menjadi satu tuntutan. Islam juga tidak ketinggalan menekankan pembangunan manusia sebelum sebuah tamadun dapat dibangunkan. Nabi S.A.W. mengambil masa 13 tahun mengukuhkan fitrah yang ada dalam diri manusia sebelum berhijrah membangunkan negara dan syariat.
Firman Allah S.W.T. dalam Al-Quran yang amat rapat dengan ilmu psikologi adalah agar manusia mengubah apa yang ada dalam dirinya (hati atau jiwa) sebelum Allah mengubah nasibnya (Ar-Ra’d:11). Melalui ayat ini, kita faham bahawa perubahan adalah satu proses inside-out, iaitu dari faktor dalaman (jiwa, nilai, persepsi), kemudian barulah faktor luaran (persekitaran, pendidikan dan sebagainya). Malangnya, sejak sekian lama ilmu psikologi dibayangi oleh teori-teori Barat yang lebih mengutamakan aspek seperti biologi dan sosial serta mengabaikan perihal jiwa.
Bagaimanakah kaedah untuk membenteras penagihan dadah, seks bebas, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan 1001 masalah sosial adalah tanggungjawab ahli psikologi Muslim. Melihat ke hadapan pula, bagaimana untuk membangun pekerja cemerlang, ibubapa cemerlang, pemimpin yang cemerlang, pelajar yang cemerlang dan 1001 keperluan insani juga adalah tanggungjawab ahli psikologi Muslim. Melalui kajian yang bersumberkan Al-Quran dan Hadith, rahsia kecemerlangan insan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. lebih 1400 tahun dahulu pasti dapat dirungkai dalam bentuk dan kaedah yang sesuai dengan perubahan zaman.
Ayuh para saintis sosial, kita melangkah ke abad ini dengan kekuatan bersumber Al-Quran dan Hadith membangunkan masyarakat. Kalau saintis sains alam telah berjaya buktikan solat memberi kebaikan kepada tubuh manusia, kita buktikan bahawa Islam adalah penyelesai masalah sosial yang kian meruncing kini..

Ogos 8, 2011

Kepada Peminat Blog Personaliti

Posted in Tinta Editor pada 6:51 am oleh abulutfi

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,

Kepada semua pengunjung yang meminati blog ini, insya Allah mulai September 2011, saya akan update penulisan dan artikel dalam blog Personaliti lebih kerap kerana saya bakal menjadi penulis sepenuh masa. Maka, nantikan artikel/ kajian menarik dari saya.

Terima kasih.

Abulutfi

Ogos 1, 2011

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Posted in Psikologi Islam pada 6:33 am oleh abulutfi

Bahtera Ramadhan berlabuh lagi setelah 12 purnama belayar. Bersamanya adalah barang dagangan yang tidak dapat diperolehi di lain bulan. Berkejar-kejarlah untuk mendapatkannya sebelum bahtera Ramadhan belayar kembali.

Disember 8, 2010

Motivasi dalam Organisasi

Posted in Psikologi Islam pada 6:57 am oleh abulutfi

Oleh: A. Amri

Konsep Motivasi

Secara konseptualnya, motivasi dikaitkan dengan dorongan dalaman seseorang, iaitu suatu tenaga yang menggerakkan tindakan bagi mencapai sesuatu matlamat yang tertentu. Dari aspek sumber manusia, dorongan ditakrifkan sebagai kesediaan individu atau kumpulan untuk menyumbang tenaga dan usaha bagi mencapai sesuatu matlamat atau tujuan. Dorongan seseorang dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan tidak terhad kepada motif yang ditetapkan seseorang atau desakan yang diterima olehnya.

Secara umumnya, proses motivasi bermula apabila seseorang mengenalpasti keinginan atau keperluannya. Apabila wujud keinginan atau keperluan ini, ketidakseimbangan dalam dirinya akan terhasil. Ketidakseimbangan ini adalah dorongan yang akhirnya membentuk suatu motif atau matlamat. Seseorang cuba mengurangkan ketidakseimbangan tersebut melalui tindakan yang dapat memenuhi motifnya.


Teori-teori Motivasi

Tedapat banyak teori motivasi yang dikemukakan oleh ahli psikologi. Dalam bidang psikologi industri dan organisasi, kebanyakan teori-teori motivasi boleh dibahagikan kepada dua jenis yang utama iaitu teori yang berasaskan keperluan dan teori yang berasaskan proses kognitif. Teori yang paling popular dalam teori keperluan adalah Teori Keperluan Maslow dan Teori Pencapaian McClelland. Manakala, teori yang berasaskan kognitif sering merujuk kepada Teori Jangkaan Vroom dan Teori Ekuiti Adam.

Teori Keperluan Maslow yang diperkenalkan oleh Abraham Maslow pada 1954 menyatakan bahawa manusia mempunyai lima keperluan yang disusun mengikut hirarki. Keperluan asas manusia adalah keperluan fisiologi seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian. Tahap kedua adalah keperluan keselamatan diri. Keperluan tahap ketiga adalah keperluan sosial. Selepas itu, manusia akan memenuhi keperluan ego dan penghormatan diri. Keperluan tertinggi adalah keperluan kepada kesempurnaan kendiri.

Teori ini diaplikasikan dalam bagi memenuhi motivasi seseorang pekerja dengan membekalkan keperluan-keperluannya seperti gaji dan elaun (fisiologi), keselesaan tempat kerja dan insurans (keselamatan diri), bekerja dalam kumpulan (sosial), kebebasan dan keyakinan (ego) serta pengembangan diri (kesempurnaan kendiri).

Bagi McClelland pula (Teori Pencapaian McClelland, 1961), seseorang individu mempunyai tiga motif asas iaitu keperluan pencapaian, keperluan gabungan dan keperluan memperolehi kuasa. Keperluan pencapaian diperolehi apabila seseorang pekerja mencapai kejayaan mengikut piawaian tertentu. Keperluan gabungan (afiliasi) diperolehi seseorang pekerja apabila ia menjalin hubungan yang lebih rapat dengan orang lain.

Manakala keperluan memperolehi kuasa diperolehi seorang pekerja apabila ia berjaya mengawal atau mempengaruhi kelakuan orang lain. Kajian ahli psikologi mendapati bahawa individu yang tinggi keperluan pencapaian lebih berjaya dalam pekerjaannya jika jenis pekerjaan tersebut membantu pencapaian peribadinya.

Dari sudut kognitif pula, Vroom berpendapat bahawa manusia berkelakuan berdasarkan hasil yang dijangka boleh memberi kepuasan (Teori Jangkaan Vroom,1964). Contohnya kenaikan pangkat. Seseorang pekerja akan memilih tindakan yang ditentukan oleh jangkaan dan keutamaannya ketika itu. Namun, daripada kajian-kajian ahli Psikologi, tidak semua hasil (ganjaran) yang positif boleh meningkatkan motivasi pekerja.

Stacy Adam pula memilih pendekatan yang berbeza. Menurut Teori Ekuiti Adam (1965), seseorang pekerja akan membuat perbandingan antara input-output kerjanya dan input-output rakan sekerja lain yang setaraf. Input bererti kemahiran, pengalaman atau latar belakang pendidikan. Output bererti gaji, faedah atau pujian. Ekuiti adalah nisbah output kepada input:

Ekuiti = Output/Input

Kajian yang dijalankan oleh Smither pada 1988 berdasarkan teori ini mendapati bahawa seseorang akan bekerja dengan lebih rajin jika gaji yang diterimanya setanding dengan usaha yang dicurahkan. Namun, pekerja yang mempunyai input yang banyak berbanding pekerja lain tidak semestinya memberi kesan ke atas prestasi dirinya. Dalam kajian lain oleh Cropanzano dan Folger pada 1989, didapati pekerja yang dipaksa bekerja kuat tetapi menerima gaji yang sama dengan pekerja lain yang tidak dipaksa bekerja kuat akan merasa tidak puas hati.

Motivasi Dari Perspektif Islam

Dari perspektif Islam, motivasi seseorang didorong oleh pelbagai faktor yang saling berkait. Dalam Islam, tiga perkara penting dalam tingkah laku adalah niat, kaedah dan matlamat (motif). Niat bermula dari mengenal diri sebagai khalifah Allah yang diamanahkan untuk memakmurkan bumi.

Matlamat adalah hasil yang diperolehi di akhirat setelah apa yang diusahakan di dunia. Menurut Mohd Zaki Samsudin dan Alizi Alias dalam tulisan mereka ‘Motivation and Emotion’, seorang Muslim mempunyai motif dalaman (intrinsik), iaitu mencari keredhaan Allah dan motif luaran (ekstrinsik), iaitu ganjaran syurga atau neraka.Ia mungkin dalam bentuk ganjaran atau hukuman.

Kemudian Allah memberi akal kepada manusia untuk berfikir dan memilih kaedah atau jalan untuk mencapai motif tersebut. Ia boleh berupa jalan yang benar, iaitu yang bertepatan undang-undang Allah dan fitrah manusia atau jalan yang mungkar iaitu jalan yang bertentangan dengan undang-undang Allah.

Satu karakteristik khusus dalam motivasi dari perspektif Islam adalah faktor iman. Dalam kajian Ahmad Amri pada 2004, didapati bahawa seseorang yang mempunyai tahap penghayatan iman yang tinggi juga mempunyai komitmen, disiplin diri dan dorongan yang kuat dalam melakukan kerja.

Dari Islam perspektif Islam, motivasi bermula aqal, kemudian turun ke hati dan akhirnya digerakkan oleh nafsu. Manusia yang berilmu akan faham apa yang perlu dicari dalam dunia ini. Hati yang kenal Tuhan akan mahu mencari-Nya. Nafsu yang dilatih pula akan mampu membawa tubuh kepada matlamat yang disasar.

September 30, 2010

Untuk Para Pencari Tuhan

Posted in Penawar Hati pada 1:03 am oleh abulutfi

Ada beberapa kenalan dan bukan kenalan yang bertanyakan kepada saya, bagaimana hendak mengenal Tuhan? Satu persoalan yang kebiasaannya hanya ustaz-ustaz yang selayaknya menjawab. Namun, kalau saya telah mengenal pencipta saya, apa salahnya saya berkongsi sedikit pengetahuan?

Apabila persoalan mengenal tuhan berbangkit, satu frasa yang sangat mahsyur adalah, “kenali diri, maka kamu akan kenali tuhanmu.” Maka, saya mulakan intro saya dengan mengajak pembaca-pembaca semua mengenal diri terlebih dahulu. Justeru, topik perbincangan akan mengarah kepada cara mengenal diri pula. Walau bagaimanapun, saya tidak akan mengulas panjang-lebar mengenai jenis personaliti, kekuatan dan kelemahan diri dan yang sewaktu dengannya, sebaliknya cukup sekadar saya membangkitkan kesedaran para pembaca kepada satu suruhan agama, iaitu berfikir.

Dalam al-Quran, terdapat banyak sekali kalam-kalam Allah yang menyuruh supaya kita berfikir. Mengapa? Walaupun senarai kelebihan berfikir ini berjela-jela panjangnya, tetapi di akhirnya kita berfikir untuk memahami. Memahami mengapa sesuatu perkara wujud, bagaimana sesuatu perkara berlaku, siapa yang menyebabkan ia berlaku, sampai bila ia akan berlaku dan sebagainya. Kesemua persoalan ini menjurus kepada untuk memahami. Maka, apabila kita telah faham, kita akan bertindak (usaha).

Contoh mudahnya begini: apabila kita tahu bahawa makan banyak boleh menyebabkan kegemukan, kita akan mula ada kesedaran. Apabila kita fahami lebih mendalam masalah-masalah yang akan timbul apabila kita gemuk (akibat banyak makan), kita akan berusaha mencegahnya daripada berlaku. Maka, ketika itulah kita akan cari maklumat tentang kalori makanan, diet yang baik, makanan yang sihat dan sebagainya.

Perumpamaan ini samalah dengan misi kita dalam mencari tuhan. Apabila kita tahu siapa kita, iaitu suatu makhluk yang punyai kelemahan, keperluan dan keinginan, barulah kita akan sedar bahawa sebenarnya kita hanyalah sekadar hamba. Hamba kepada sang pencipta segala makhluk. Hamba yang perlukan kepada ihsan dan kekuatan dari penciptanya.

Maka, ketika kita kenal dan faham tentang diri kita, kita mula rasa ingin tahu pula tentang siapa pencipta yang Maha Kuasa itu. Pencipta yang berkuasa menggerakkan segala sel dan urat dalam makhluknya. Pencipta yang hanya perlu katakan “jadilah”, maka jadilah ia. Lebih dalam kita cuba mengenal diri-Nya, lebih tenang dan jelas rasa makna hidup ini. Baru jelaslah mengapa semua yang berlaku pada diri dan alam ini berlaku. Semuanya berlaku kerana ada sebabnya. Sunnatullah. Itulah sebabnya banyak kali Allah menyeru kepada manusia untuk berfikir dan merenung kejadian alam. Firman-Nya yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Al-A’raaf : 179]

Peringkat seterusnya setelah ada kefahaman tentang kewujudan pencipta adalah kesungguhan untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Di sinilah kesungguhan menentukan sampai atau tidak seseorang hamba kepada pencipta-Nya. Kesungguhan yang saya maksudkan di sini ialah usaha memperbanyakkan amalan yang disukai Allah. Sama juga seperti kita hendak menarik perhatian orang yang kita sayangi. Maka kita lakukan apa yang disukainya, dengan harapan dia menyedari dan menaruh minat pula kepada kita.

Antara amalan yang paling berkesan untuk mendekatkan diri kepada Allah menurut para ulama dan ahli filasuf adalah amalan berzikir. Dalam satu hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Termidzi dan Ibnu Majah bermaksud:

“Mahukah kalian kuberikan tentang sebaik-baik amalmu, semulia-mulianya di hadapan Rajamu setinggi-tingginya darjatmu, dan justeru ia itu lebih baik bagimu daripada menginfaqkan emas dan perak, serta lebih baik bagimu daripada kamu bertemu musuhmu lalu kamu pukul leher-leher mereka dan merekapun memukul leher-lehermu? Mereka (para sahabat) menjawab, “Mahu, ya Rasulullah”. Dia (kemudian) bersabda: Zikrullah.”

Sesungguhnya hanya Allah yang dapat member petunjuk dan hidayah. Tetapi kitalah yang harus berusaha mendapatkan petunjuk dan hidayah itu. Mereka yang tunduk kepada nafsu akan terus jauh dari Allah dan mereka yang menghampiri Allah selangkah, Allah akan menghampirinya 1000 langkah.

“Tidakkah engkau perhatikan gelagat orang yang bertuhankan hawa nafsu dirinya sendiri? Dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” [Al-Jatsiyah : 23]

Laman berikutnya